


Oleh: Sholina Osman
29 MAC 2028
Perlis menggalakkan Solat Aidilfitri 1446/2025M dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan mulai pukul 7.45 pagi sehingga 8.15 pagi bergantung kepada keputusan yang dipilih oleh Jawatankuasa
Kariah Masing-masing.
Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pelaksanaan ini adalah selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW.
Baginda bertitah, setiap Jawatankuasa Kariah hendaklah juga memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada Ahli Kariah.
“Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Perlis,” titah Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkaitan pelaksanaan Solat Aidilfitri 1446/2025M.
RUANG DALAM MASJID
Baginda bertitah, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan
penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.
“Bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Titah Baginda, dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi.
“Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah Baginda.
DATARAN ISTIADAT ISTANA
Sementara itu bagi pelaksanaan Solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau pula akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8.00 pagi.
“Sekiranya keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, Solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau,” titah Baginda.
Titah Baginda, pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan
sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh
Jabatan Mufti Negeri Perlis.
SENTIASA DIJUNJUNG TINGGI
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan besarnya harapan Baginda agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini
sentiasa dijunjung tinggi, dan dipatuhi oleh seluruh rakyat yang dikasihi.
“Selain itu, saya turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidilfitri ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan istighfar serta
membanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai mezahirkan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua,” titah Baginda.
Di kesempatan ini, Baginda turut menyempurnakan titah Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis yang menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1446H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”. – JM
