




Oleh: Sholina Osman
21 MAC 2025
Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 25 Mac 2025 dan berterusan sehingga Mei 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), , Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut
2024/25 yang telah bermula sejak 5 November 2024.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan media.
Dr Mohd. Hisham berkata, keadaan ini boleh menggalakan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.
BERPOTENSI MENYEBABKAN BANJIR
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,”katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi
Jabatan.
Sila hubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – JM