






21 MAC 2025
Pendidikan berkualiti adalah pelaburan terbaik untuk masa depan negara, dan komitmen ini akan terus diperjuang demi Malaysia yang madani dan berdaya saing.
Sehubungan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan beriltizam tegas untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti, relevan dengan keperluan semasa, dan mampu membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan.
Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada pemerkasaan guru sebagai agen perubahan yang berperanan penting dalam mencorak masa depan pendidikan negara.
PENINGKATAN KEMAHIRAN PEDAGOGI
“Latihan yang lebih komprehensif, peningkatan kemahiran pedagogi, serta penggunaan teknologi dalam bilik darjah akan diperkukuhkan bagi memastikan setiap murid mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan,” katanya menerusi perkongsian di FB.
Sebelum itu Perdana Menteri menghadiri mesyuarat bersama kepemimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan.
Dalam masa yang sama, kata Anwar penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus disemarakkan tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa bagi memastikan pelajar mempunyai kelebihan di peringkat global.
DALAM LAPANGAN SAINS
“Peningkatan kemasukan dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus utama,” katanya.
Langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan keperluan industri, di samping menjamin kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi.
Beliau berkata, Kerajaan juga bersungguh untuk memperluas program TVET ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai sektor strategik.
INISIATIF SEKOLAH BERTINGKAT
Selain itu, kata beliau inisiatif sekolah bertingkat dengan kerjasama sektor korporat akan diperkenalkan bagi menangani masalah kepadatan sekolah di kawasan bandar.
“Ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur pendidikan, tetapi juga memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid dan guru,” katanya.
Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), sistem pendidikan negara perlu berkembang seiring dengan perubahan teknologi.
AKAN TERUS DIPERKASA
Walhasil, pendidikan digital akan terus diperkasa bagi membolehkan murid memperoleh kemahiran teknologi yang diperlukan untuk masa depan.
Inisiatif seperti Sekolah Angkat dengan dukungan rakan strategik korporat akan diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran kepada murid, terutama dalam bidang kemahiran digital dan daya cipta.
“Kerajaan akan terus memastikan setiap kebijakan dan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan membawa manfaat jangka panjang kepada negara,” katanya.
Kata Perdana Menteri, dengan reformasi pendidikan yang berani dan terarah, Malaysia akan mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompetitif. – JM