





Oleh: Sholina Osman
13 MAC 2025
Kerajaan Persekutuan memberi suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan
2,000 vendor PKS minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
“la juga penting untuk
menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
MEMANFAATKAN PEMEGANG SAHAM
Anwar berkata, amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB.
Dalam penstrukturan semula SEB, katanya, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB.
“Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya.
Perdana Menteri berkata, proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.
DAPATAN “DUE DILIGENCE”
Selanjutnya katanya dapatan “due diligence” ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak.
Jelasnya, kerajaan MADANI tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan.
Beliau berkata, penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah.
Suntikan Kerajaan bukannya geran kata Perdana Menteri tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem O&G yang strategik untuk ekonomi negara. – JM