MCMC siasat lelaki berusia 47 tahun muat naik kandungan palsu berunsur 3R

Oleh: Sholina Osman
13 MAC 2025

Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) yang menyentuh sensitiviti agama.

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik menerusi laman aplikasi Facebook (FB) miliknya pada 9 Mac 2025 lalu.

Kandungan itu mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning tidak lagi dibenarkan ketika ini.

Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping semalam (12 Mac 2025).

TUJUAN ANALISIS FORENSIK

Sebuah telefon bimbit serta satu sim kad telah disita bagi tujuan analisis forensik.

Terdahulu, pasukan Penguatkuasa MCMC telah menyerahkan satu notis kehadiran di bawah seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC ingin menasihatkan kepada orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini. – SM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *