Ops Pagar Laut APMM tumpaskan 251 kes, rampasan hampir RM110 juta – Saifuddin

Oleh: Sholina Osman
13 MAC 2025

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,
Ops Pagar Laut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya menumpaskan 251 kes, dengan nilai rampasan hampir RM110 juta sejak pelaksanaannya dari tahun 2020 hingga 2024.

“Ini membuktikan keberkesanan operasi ini dalam membanteras jenayah maritim yang berpotensi membawa kerugian besar kepada negara,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Saifuddin melancarkan Op Khas Pagar Laut APMM Siri 1/2025 di atas Kapal KM Tun Fatimah.

Saifuddin berkata, Ops Pagar Laut ini merupakan satu operasi penting oleh APMM di seluruh perairan negara bagi memastikan keselamatan maritim negara terus terjamin.

SELURUH PERAIRAN MALAYSIA

Beliau berkata, operasi yang digerakkan di seluruh perairan negara ini adalah bertujuan untuk mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan, khususnya di kawasan ‘hotspot’ pada bulan Ramadan dan Syawal.

“Ops Pagar Laut ini akan berlangsung sehingga 1 Syawal dan diteruskan lagi selama dua minggu selepas itu,” katanya.

Saifuddin berkata, ia merangkumi empat fasa utama Fasa Pengumpulan Maklumat, Fasa Penguatkuasaan Sebelum Perayaan, Fasa Penguatkuasaan Selepas Perayaan dan Fasa Penilaian (Post Exercise Debrief – PXD).

TURUT BERBUKA PUASA

Sejurus selesai melancarkan operasi, Saifuddin turut berbuka puasa bersama anggota APMM di atas kapal.

“Bukan selalu dapat merasai pengalaman beriftar di tengah lautan bersama wira-wira yang bertugas menjaga perairan negara,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada APMM dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

“Saya doakan semoga seluruh anggota APMM yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan negara sentiasa diberikan kekuatan, kesihatan yang baik, serta dilindungi daripada sebarang bahaya,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *