



Oleh: Sholina Osman
13 MAC 2025
Yayasan FELCRA telah menyumbangkan sejumlah 3,000 kampit beras Super Special Tempatan 5 kilogram berjenama FELCRA untuk diagihkan kepada semua staf FELCRA, anak Syarikat di Semenanjung manakala 500 kampit lagi di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Idris Lasim berkata, sebanyak 985 kampit beras lagi diperuntukkan untuk semua petugas di ibu pejabat, anak Syarikat dan tidak ketinggalan buat petugas kebersihan serta pengawal keselamatan.
Jelas beliau dengan inisiatif sumbangan beras seumpama ini diharapkan akan dapat memberikan motivasi kepada petugas untuk terus memberikan komitmen yang padu dalam perkhidmatan di samping dapat mempromosikan keunggulan produk berasaskan makanan yang diusahakan FELCRA.
“Semoga seluruh petugas akan dapat menyemai semangat “sense of belonging” terhadap peranan dan tanggungjawab Yayasan FELCRA untuk melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai pemangkin Kesejahteraan Rakyat yang melibatkan masyarakat, komuniti peserta dan warga FELCRA juga,” katanya.







Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sumbangan Kasih Ramadan Yayasan
FELCRA di Wisma FELCRA, Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama barisan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan FELCRA iaitu Datuk Sabari Misran, Noraini Nordin, Mohammad AB Rahman, dan Setiausaha Eksekutifnya Nasri Nyak Othman.
Idris berkata, setiap tahun pengurusan FELCRA Berhad menyalurkan sumbangan dan peruntukan kepada Yayasan FELCRA untuk membiayai pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat.
ZAKAT PENDAPATAN SYARIKAT
“Penyaluran zakat pendapatan syarikat agak memberangsangkan setiap tahun berdasarkan prestasi perladangan dan aktiviti komersial FELCRA,” katanya.
Beliau berkata, Yayasan FELCRA yang ditubuhkan sejak tahun 1999; memberikan fokus untuk melaksanakan dan menguruskan CSR bagi pihak FELCRA Berhad menerusi program dan aktiviti berteraskan Kebajikan, Pendidikan dan Kesihatan.
MEMBANTU SEMUA PIHAK
“Yayasan FELCRA setiap tahun sentiasa bersedia untuk memberikan sumbangan bagi membantu semua pihak yang memerlukan bantuan seperti anak-anak yatim, asnaf, individu atau pihak-pihak yang terkesan dengan musibah, bencana dan malapetaka,” katanya.
Selain itu katanya, Yayasan FELCRA menguruskan dan membiayai pelbagai program berteraskan Pendidikan dan meyalurkan sumbangan bagi membantu aktiviti pembelajaran di institusi pendidikan termasuk sekolah, kolej, tahfiz dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Tambahnya, melalui teras Kesihatan, Yayasan FELCRA mengadakan program seperti Pemeriksaan Kesihatan, Rawatan Gigi, Pemeriksaan serta bantuan kaca mata.
Idris berkata, semua ini adalah percuma bukan sahaja untuk warga peserta dan penduduk setempat tetapi juga kepada semua staf FELCRA sendiri.- JM