






Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,
sekolah disifatkan sebagai asas paling efektif bagi membentuk perpaduan di kalangan pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum menerusi pelbagai usaha secara berterusan.
Baginda bertitah, tidak dinafikan bahawa pendidikan adalah faktor utama dalam usaha memperkukuh perpaduan.
Sehubungan itu titah Baginda, nilai kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, dan ihsan perlu diterapkan dalam persekitaran pendidikan di sekolah, melibatkan semua kaum di kalangan murid sebagai teras dalam setiap aktiviti sekolah.
“Usaha mewujudkan perpaduan kaum dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan semua pelajar sekaligus bukan sahaja menguatkan perpaduan malah memperkukuh keharmonian antara rakyat berbilang kaum di negara ini,” titah Baginda.
TITIAN KASIH MEGA
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 Peringkat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Lok Yuk di Kudat, Sabah bersempena dengan Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) 2025 baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua SMJK Lok Yuk, Chong Siaw Han.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kudat yang melibatkan seramai 725 orang pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di SMJK Lok Yuk.
CEMERLANG PEPERIKSAAN SPM
Sempena program ini juga, SMJK Lok Yuk juga menerima sumbangan RM500 bagi pelajar paling cemerlang peperiksaan SPM dari YTSP Perlis, sumbangan 2 unit LCD Projektor dan 2 unit ‘Air Cooler’ dari Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Kipas Berdiri dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), 2 kotak pakaian sukan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan satu unit ‘LED Display Sign Board’ dari Datuk Indera Dr. Mohd Zaini Ariff.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian pecah tanah bagi pembinaan dewan makan dan koperasi sekolah tersebut.
Baginda menasihatkan pelajar SMJK Lok Yuk agar sentiasa menjaga akhlak diri, maruah ibu bapa dan nama baik sekolah dan berharap sekolah ini akan terus melahirkan masyarakat yang bersatu-padu tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan warna kulit. – JM