







Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2025
Kerajaan berhadapan cabaran besar apabila perlu mencari jalan penyelesaian dengan segera bagi mengatasi kesesakan di penjara yang berkapasiti 72,000 banduan, tetapi jumlahnya telah mencecah 80,000 orang.
Sehubungan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pihaknya kini sedang memperkukuhkan pendekatan secara “alternative sentencing”.
Beliau berkata, ia termasuk Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di mana hukuman berjalan di luar penjara dengan syarat tertentu.
Katanya, “Home Detention” pula memastikan tahanan rumah dipantau dengan ketat.
PENGGUNAAN GELANG ELEKTRONIK
“Electronic Monitoring Device (EMD) pula penggunaan gelang elektronik bagi banduan secara bersyarat,” katanya menerusi hantaran di FB.
Terdahulu Saifuddin hadir di Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga Jabatan Penjara Malaysia yang berlangsung di Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah.
Dalam ucapannya, Saifuddin berkata, satu pengalaman yang cukup bermakna apabila beliau menyaksikan sendiri kejayaan program pemulihan yang bukan sahaja mengubah hidup banduan, tetapi juga membawa mereka kembali ke pangkuan masyarakat sebagai insan yang lebih baik.
HAFAZAN AL-QURAN
“Kita telah melihat bagaimana program seperti hafazan al-Quran di Sekolah Henry Gurney berjaya membentuk personaliti banduan muda,” katanya.
Malah, katanya, ada dalam kalangan mereka yang telah menghafal 30 juzuk al-Quran dan menjadi imam solat tarawih.
“Ini adalah bukti bahawa penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi juga pusat pemulihan yang berkesan,” katanya.
SEBAGAI BENTENG AKIDAH
Selain itu, beliau juga menekankan pentingnya institusi pondok sebagai benteng akidah umat Islam dan rakan strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu ekstremisme dan memperkukuhkan kefahaman masyarakat mengenai hubungan sesama Muslim dan non-Muslim.
“Falsafah âRehabilitation Over Punishmentâ yang diamalkan oleh negara-negara maju seperti Norway dan Belanda boleh dijadikan rujukan, tetapi kita tetap akan memastikan kawalan dan keselamatan negara sentiasa diutamakan,” katanya.
“Kita ingin melihat Malaysia sebagai model terbaik dalam pemulihan banduan, bukan sekadar menghukum, tetapi membimbing mereka kembali kepada jalan yang benar,” tambah beliau.
Saifuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia, pimpinan KDN, dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
“Semoga kita terus istiqamah dalam membina sistem keadilan yang lebih progresif dan berperikemanusiaan,” ujar beliau. – JM