Zon Maritim Kuala Perlis tahan tiga nelayan tangkap siput guna peralatan terlarang

Oleh: Sholina Osman
5 FEB. 2025

Terjerat! Leka menangkap siput menggunakan sangkar besi yang diharamkan akhirnya diberkas oleh pihak berkuasa.

Seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan yang berumur 37 hingga 41 tahun ini ditahan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis di kedudukan sekitar 0.89 batu nautika barat daya Kuala Perlis, Perlis baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim, Mohd Hashim Mat Zain berkata, kesemua suspek ketika
itu berada di sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) bot fiber tanpa nombor pendaftaran bagi menangkap siput.

Dalam kejadian tersebut, katanya, bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melakukan rondaan OP AMAN di perairan Perlis telah menghampiri bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti menangkap siput. 

BOT TERBABIT BERPENGKALAN
 
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan media.
 
Mohd Hashim berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang, atau menyebabkan dipasang, apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
 
“Kesemua hasil tangkapan dan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM50,000.00 bersama-sama tiga suspek dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
 
Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 
 
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *