PMX raikan Tamu Kenegaraan, Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev

Oleh: Sholina Osman
5 FEB. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Tamu Kenegaraan, Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Perdana Menteri menyebut bahawa ini adalah lawatan pertama Shavkat ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016.

“Ini juga sebagai kunjungan balas susulan lawatan saya ke Uzbekistan pada Mei tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di FB.

Beliau berkata, sebaik tiba di Perdana Putra, Presiden Shavkat dan delegasi diberikan sambutan rasmi dan melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

HUBUNGAN DUA HALA

Perdana Menteri juga merakamkan penghargaan Malaysia kepada Presiden Shavkat atas lawatan rasmi ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia-Uzbekistan.

“Melewati latar belakang Masjid Putra usai istiadat, saya dan Presiden Shavkat kemudian menghadiri mesyuarat terhad bersama kedua-dua pimpinan bagi membincangkan isu-isu strategik terkait kepentingan kedua-dua negara, antaranya pelaburan, perdagangan, semikonduktor dan pelancongan,” katanya.

Perdana Menteri menerusi satu lagi hantaran di FB memaklumkan beliau dan Presiden Uzbekistan kemudiannya menyaksikan majlis pertukaran dokumen dua hala dan memorandum persefahaman (MoU) dalam beberapa bidang antaranya kesihatan, sains forensik, budaya, pendidikan dan pelancongan di antara kedua-dua pimpinan.

SUSULAN LAWATAN RASMI

“Momen ini juga bertitik tolak hasil susulan lawatan rasmi saya ke Uzbekistan pada Mei tahun lepas dalam menerokai sinergi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

“Insya-Allah, momentum ini bakal membawa lebih banyak peluang untuk melonjakkan ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang kelak dapat memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” tambahnya.

Kedua pemimpin ini kemudiannya menikmati jamuan tengah hari dengan selingan persembahan tarian dan kebudayaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *