Malaysia banyak sumbang kepada agenda antarabangsa – Perutusan Tetap Malaysia ke PBB

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs

5 FEB. 2025

Melalui peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan antarabangsa di Geneva Switzerland, negara Malaysia telah berjaya menyumbang kepada agenda antarabangsa seperti pembangunan mampan, keamanan dan kestabilan sejagat, bantuan kemanusiaan serta hak asasi manusia.

Malaysia juga lantang dalam memperjuangkan isu Palestin dan Myanmar di persada pelbagai hala di Geneva.

Malaysia telah menganggotai Badan Pentadbir Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan merupakan Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2023-2026.

Negara ini juga telah menyempurnakan keanggotaannya dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi penggal 2022-2024 serta Badan Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi penggal 2021-2024.

BANTUAN IBNU SABIL

Kenyataan media MAIPs menyebut perkara tersebut telah dipersembah maklum oleh pihak Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva setelah menerima sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ berjumlah RM5,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan untuk menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan daripada MAIPs tersebut kepada Wakil Tetap, Perutusan Tetap Malaysia ke PBB dan Badan-badan Antarabangsa di Geneva, Datuk Nadzirah Osman yang diiringi oleh Timbalan beliau, Rina Hanis Rodzli.

Berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullaill.

PEJABAT PERWAKILAN MALAYSIA

Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs disalurkan melalui beberapa buah pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya.

BADAN-BADAN ANTARABANGSA

Sebagai rekod, Perutusan Tetap Malaysia ke PBB serta Badan-badan Antarabangsa di Geneva, Switzerland telah ditubuhkan pada Julai 1968.

Selain daripada PBB, antara badan antarabangsa yang berpusat di Geneva adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Peranan utama Perutusan Tetap Malaysia PBB di Geneva adalah untuk mempromosikan, mengetengahkan dan mempertahankan kepentingan Malaysia dipelbagai platform pelbagai hala yang berpangkalan di Geneva, berlandaskan dasar luar Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *