



Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
5 FEB. 2025
Sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk hidup bersatu padu, dengan menghormati dan saling menyokong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa mahupun negara.
Inilah yang menjadi tunjang kepada kekuatan umat Islam di peringkat global.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kenyataan media MAIPs selepas Baginda berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan kecil zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena keberangkatan Baginda ke Geneva, Switzerland kepada The Islamic and Cultural Foundation of Ahl El Beit (S) di Geneva, Switzerland.
Turut berangkat mengiringi Baginda adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda Baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT
Sumbangan agihan zakat sebanyak RM1,000 itu telah diterima oleh kakitangan yayasan tersebut, Moh-Ulysse.
Sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs bagi menyalurkan bantuan kecil kewangan yang akan dimanfaatkan oleh masjid-masjid bagi penganjuran program agama, sumbangan kepada fakir miskin atau asnaf dan sebarang kegiatan sosial dan kemasyarakatan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan kepentingan ‘Ummatan Wahidah’ atau ‘Umat Yang Satu’ dalam membina kekuatan Islam di seluruh dunia.
IKATAN YANG ERAT
Titah Raja Muda, konsep ‘Ummatan Wahidah’ bukan sahaja mencerminkan ikatan yang erat antara sesama kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, tetapi juga sebagai satu tanggungjawab bersama untuk saling bantu-membantu, mengeratkan ukhuwah dan menyebarkan rahmat Islam di seluruh alam’.
Baginda juga menyeru agar semua umat Islam terus berganding bahu dalam memajukan lagi pendidikan Islam di seluruh dunia, terutamanya di kalangan generasi muda kita, supaya mereka dapat terus menjaga maruah agama dan bangsa, serta melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam yang sejati. InsyaAllah.
Sebagai rekod, The Islamic and Cultural Foundation of Ahl El Beit (S) memainkan peranan sebagai yayasan yang menyediakan ruang dan kemudahan yang sesuai buat masyarakat serta umat Islam untuk menunaikan solat, menyambut perayaan atau upacara keagamaan, pusat pendidikan agama dan pembelajaran untuk kanak-kanak. – JM