Pasar Datuk Keramat yang berusia 50 tahun bakal dibangunkan semula – Dr Zaliha

Oleh: Sholina Osman
5 FEB. 2025

Pasar Datuk Keramat yang terlalu lama dan uzur serta menginjak ke usia 50 tahun bakal dibangunkan semula seawal suku tahun pertama tahun ini.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kejadian kebakaran juga pernah berlaku sebelum ini dan ini menyumbang juga kepada risiko keselamatan.

Beliau berkata, pembangunan semula adalah langkah terbaik bagi memastikan pasar ini lebih selamat dan kondusif untuk semua.

TERATUR DAN BERFASA

Jelas beliau, pembangunan semula pasar ini boleh dilaksanakan secara teratur dan berfasa, dengan mengambil kira kepentingan aktiviti perniagaan sedia ada supaya tidak terjejas.

“Saya telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyegerakan bancian bagi memuktamadkan bilangan peniaga dalam tempoh dua minggu agar perancangan dan tindakan seterusnya dapat dimulakan seawal suku pertama tahun ini bagi memastikan ia tidak tertangguh lagi,” katanya menerusi hantaran di FB.

Sebelum itu, Dr Zaliha dan pasukannya turun padang ke Pasar Datuk Keramat selepas melancarkan Community’s Barbershop di Perumahan Awam (PA) Seri Perlis.

SEBAGAI FOKUS UTAMA

Dr Zaliha berkata, tahun 2025 ini saya dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menetapkan pembangunan semula pasar ini sebagai fokus utama,” katanya.

Katanya, isu pembangunan semula pasar ini merupakan isu legasi yang perlu segera diselesaikan dan tidak boleh tertangguh lagi.

“Selepas lawatan Perdana Menteri pada Julai 2024, beberapa langkah “quick win” telah dilaksanakan, antaranya menaik taraf tandas dan memperbaiki pendawaian elektrik,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zaliha mahu melihat Pasar Datuk Keramat ini sebagai sebuah pasar yang lebih selesa, bersih, selamat dan dilengkapi dengan fasiliti yang lebih moden demi kesejahteraan semua dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan peniaga. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *