PMX bukan penderhaka, tuduhan Ketua Pembangkang tidak berasas – Kelab BBC

Oleh: Sholina Osman
5 FEB. 2025

Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club – BBC) menegaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat semalam, yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja, adalah satu fitnah jahat dan tidak berasas.

Kenyataan media Kelab BBC memaklumkan tiada unsur penderhakaan berlaku kerana Perdana Menteri telah mengesahkan kewujudan titah Tuanku Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah addendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan Kelab BBC yang bertarikh 5 Februari 2025.

Berikutan itu, kata Kelab BBC, setelah menyatakan fakta yang benar maka ia tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan.

ADALAH TAKTIK LAMA

Jelas Kelab BBC, manipulasi fakta oleh pembangkang adalah taktik lama pihak ini untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.

“Ini adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” kata Kelab BBC.

Selain itu, dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan juga tidak berasas.

POLISI MESRA PELABUR

“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur, dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti,” kata kenyataan itu lagi.

Kelab BBC menyifatkan fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara diperingkat antarabangsa.

“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab
dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” tambah kenyataan itu lagi.

PMX MENUNJUKKAN
PENGHORMATAN TERTINGGI TERHADAP INSTITUSI DIRAJA

PMX sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap
institusi diraja dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

Segala tindakan Kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan
kepentingan negara.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa tuduhan Ketua Pembangkang adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat maka rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,” tegas Kelab BBC. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *