PMX jamin kenaikan tarif elektrik tidak bebankan komuniti perniagaan, 85 peratus isi rumah masih dapat subsidi

Oleh: Sholina Osman
4 FEB. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun 2025 ini tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.

Anwar juga menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah juga tidak akan terjejas oleh semakan tarif yang dijadualkan bagi separuh kedua tahun 2025.

“Pada masa ini, Kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum itu Anwar menekankan perkara terbabit ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur.

MEMBERIKAN SUBSIDI ELEKTRIK

Perdana Menteri berkata, pada masa ini, Kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah.

“Tarif asas elektrik di Malaysia telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun,” kata kenyataan itu lagi.

Selain tarif asas, katanya, terdapat mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.

“ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.

KERAJAAN SUDAH MELULUSKAN

“Pada Januari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan kerajaan sudah meluluskan kenaikan 14.2 peratus dalam tarif asas bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Walaupun begitu, katanya, Kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik sebenar untuk industri dan isi rumah bagi separuh pertama tahun 2025, iaitu tiada perubahan pada kadar yang dikenakan,” katanya.

Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai 2025. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *