FAMA Perlis anjur kursus bantu usahawan pasar produk secara digital

Oleh: Sholina Osman
4 FEB. 2025

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Kursus Grooming Usahawan Agrobazaar Online (From Zero to Viral) bagi memperluaskan lagi pengetahuan usahawan di negeri ini berkaitan pemasaran produk secara digital.

Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata, ia melibatkan penyertaan 40 usahawan baru dan sedia ada di negeri ini yang berlangsung di Makmal Komputer, UniMAP Jejawi, Arau.

“FAMA yakin ia akan dapat membantu usahawan terbabit untuk memasarkan produk secara digital dan penghasilan bahan promosi di portal Agrobazaar Online,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd. Anzara berkata, dengan pengaturan slot yang menfokuskan kepada penghasilan bahan promosi dan pasaran, ianya dapat
membantu usahawan meningkatkan imej pasaran seterusnya memperluaskan lagi kaedah pemasaran produk mereka.

TELAH BERJAYA MENARIK

Selain itu katanya, dengan jalinan kerjasama antara FAMA dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Perlis telah berjaya menarik minat hampir 651 orang graduan dan pelajar terlibat sebagai ejen pemasar kepada usahawan melalui program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME).

“Nilai jualan yang dicatatkan oleh usahawan Perlis melalui portal Agrobazaar Online bagi tahun 2024
hampir RM 200,000.00 yang melibatkan 40 orang usahawan,” katanya.

Selain latihan dan bimbingan sebegini, Mohd Anzara berkata, FAMA Perlis turut menyediakan bantuan-
bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk memajukan perniagaan khususnya dalam sektor agromakanan.

Dalam pada itu, beliau juga “turun padang” bagi memantau status terkini usahawan yang telah menerima bantuan Pembaikan Imej Pembungkusan pada tahun 2024 iaitu J&W Empire yang mengusahakan Pes Laksa Kuala Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *