








Oleh: Sholina Osman
4 FEB. 2025
Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah memperkukuhkan kerjasama akademik dengan enam institusi pendidikan di Uzbekistan melalui satu Memorandum Persefahaman (MOU) dan lima Surat Hasrat (LOI).
Langkah strategik ini diambil bagi memperkukuh hubungan akademik antarabangsa, khususnya dalam bidang kewangan, perbankan, keusahawanan, dan pendidikan tinggi.
Melalui LOI dengan Banking and Finance Academy (BFA) ianya bertujuan membangunkan program pascasiswazah dalam kewangan dan perbankan, melibatkan bidang Perakaunan Antarabangsa, Percukaian, Pengurusan Risiko, serta Kewangan dan Perbankan Islam.
PROGRAM BERTARAF ANTARABANGSA
Manakala MOU dengan Termez State University (TerSU) pula bagi merancang penubuhan pusat akademik luar pesisir di Wilayah Surkhandarya yang menawarkan program bertaraf antarabangsa dengan pemantauan kualiti berasaskan piawaian AACSB.
Sementara LOI dengan Namangan State University pula memfokuskan kepada penubuhan pusat keusahawanan sebagai hub latihan dan penyelidikan bagi memperkasa bidang keusahawanan di Wilayah Namangan.
Dalam pada itu LOI yang ditandatangani dengan Navoi State University pula bertujuan membangunkan program akademik bersama dalam bidang ekonomi, pengurusan, dan teknologi kewangan serta menggalakkan pemindahan ilmu dan penyelidikan.
KUALITI PENDIDIKAN TINGGI
Kerjasama ini dijangka memberi impak dan manfaat besar kepada kedua-dua negara melalui peningkatan kualiti pendidikan tinggi, pemindahan ilmu dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan.
Melalui program hari ini UUM juga pastinya memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa yang membuka lebih banyak peluang kerjasama diperingkat global.
“Kita yakin dalam tempoh 12 bulan perjanjian LOI yang ditandatangani ini berpotensi dimuktamadkan menjadi Memorandum Perjanjian (MOA) bagi merealisasikan pelaksanaan program yang dipersetujui dan membawa impak positif kepada sektor pendidikan dan ekonomi kedua-dua negara nanti,” kata Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.
Majlis menandatangani LOI ini turut disaksikan oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia serta pemimpin akademik dari Uzbekistan.
PROGRAM YANG DIRANCANG
Kedua-dua pihak berharap agar perjanjian ini dapat diperkukuhkan melalui pelaksanaan program yang dirancang dalam masa terdekat.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak ini diberi penghormatan menjadi penganjur mengendalikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia – Uzbekistan Kali Pertama yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim, Perak.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Hadir sama menyampaikan ucapan ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi, Uzbekistan, The Hon. Konratbay Sharipov. – JM