UMAM di Perlis masih baharu mula lakar kejayaan membanggakan

Oleh: Sholina Osman
3 FEB. 2025

Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis walaupun masih baharu tetapi mula melakar beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan pada sepanjang tahun 2024 lalu termasuklah memenangi ‘Gold Medal’ dan ‘Silver Medal’ di ‘International Innovation and Invention Through Exhibition (IComPex) 2024.

Universiti berkenaan buat masa ini menawarkan lima program pengajian peringkat Doktor Falsafah iaitu Teknologi Maklumat, Pengajian Islam, Pendidikan, Pengurusan Perniagaan dan Sains Sosial telah berjaya mendapatkan perpanjangan bagi kelulusan Pengambilan Pelajar Antarabangsa pada 23 Disember 2024 sehingga 6 Mac 2027.

UMAM juga telah terpilih bagi menganjurkan The 8th Mechanical Engineering, Science and Technology (MEST 2024) pada 10 dan 11 Disember 2024 yang lalu yang bertemakan “Creating Limitless Opportunities, Shaping Future Together”.

Maklumat tersebut adalah antara yang telah dipersembah maklum oleh Naib Canselor UMAM, Prof. Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena majlis menghadap perpisahan beliau di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

AKAN BERTUKAR BERTUGAS

Prof Waluyo telah menjalankan tugas sebagai Naib Canselor universiti tersebut bermula pada 27 Februari 2023 dan berakhir pada 31 Januari 2025 dan akan bertukar bertugas di Universitas Muhammadiyah Surakarta, Jawa Tengah sebagai Professor bagi program ‘Studi Teknik Mesin – Program Doktor (S3)’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan penghargaan kepada Prof Waluyo sepanjang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UMAM di negeri ini.

Untuk rekod, UMAM yang beroperasi di Wisma MAIPs Sungai Chuchuh Padang Besar, Perlis, ini merupakan kampus Universitas Muhammadiyah yang pertama di luar negara Indonesia hasil daripada kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *