

(3 Feb 2025)
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke 15 .
Ini istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim, selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.
Keberangkatan tiba baginda di Dewan Rakyat kira-kira jam 10 .10 pagi diiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut menghadiri istiadat berkenaan.
Sejurus tiba, Perdana Menteri mempersembahkan Titah Diraja kepada Yang di-Pertuan Agong untuk baginda menyempurnakan istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai esok.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.
Takwin itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari ini.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac ini. (BERNAMA)