

Oleh: Sholina Osman
3 FEB. 2025
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.
Baginda bertitah, Parlimen adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara, dan bukannya agen perpecahan rakyat,” titah Baginda dalam Titah DiRaja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini (3 Februari 2025) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
HANYA MEMENTINGKAN PARTI
Sultan Ibrahim bertitah, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu, dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.
“Saya perhatikan dalam persidangan dewan pada tahun lalu, Ahli-Ahli Dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua!,” titah Baginda.
Namun begitu, titah Baginda masih ada segelintir Ahli-Ahli Dewan yang sukar untuk membuang tabiat lama.
MENJAGA TINGKAH LAKU
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli-Ahli Dewan sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan di atas peranan yang dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi serta sosial negara. – JM