

Oleh: Sholina Osman
3 FEB. 2025
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur melihat perkembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang bertambah baik.
Baginda bertitah, nilai Ringgit juga kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.
Baginda bertitah, pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor, dan jumlah perdagangan negara telah melepasi angka 2 Trilion Ringgit untuk tempoh 9 bulan pertama.
AKAN TERUS DIPERTINGKATKAN
“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri dan Kerajaan di atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini, diharap ianya akan terus dipertingkatkan,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah DiRaja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini (3 Februari 2025) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Namun begitu titah Baginda, Kerajaan hendaklah menentukan agar orestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat, dan bukannya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.
PENDEKATAN SUBSIDI BERSASAR
Baginda menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang telah berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan.
Bagaimanapun, Baginda menggesa supaya subsidi bersasar tersebut diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja. – JM