



Oleh: Sholina Osman
3 FEB. 2025
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah dengan memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan atau “scammer” dan pencurian identiti.
Baginda juga menzahirkan kebimbangan dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah belah.
“Oleh itu Kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini, dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai,” titah Baginda dalam Titah DiRaja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini (3 Februari 2025) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Sultan Ibrahim juga menyambut baik usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.
PENINGKATAN KESELAMATAN SIBER
“Pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini hendaklah dilaksanakan segera,” titah Baginda.
Titah Baginda, sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah di naik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
Baginda bertitah, ini bagi membanteras amalan rasuah, dan aalah guna kuasa serta budaya “red tape” yang menyusahkan urusan rakyat. – JM