






(Petikan Bahan/Foto Facebook Polis Diraja Malaysia)
2 FEB 2025
Sepang, 2 Februari 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menghadiri Majlis Peluncuran Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri II (Timbalan PM II), merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Hj. Fadillah Hj. Yusof di Anjung Tinjau, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.
Beliau yang tiba di KLIA kira-kira jam 8.30 pagi tadi telah disambut oleh Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at.
Tan Sri Razarudin bersama tetamu kehormat lain kemudiannya diiring ke tempat perasmian sebelum majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disusuli ucapan peluncuran majlis serta amanat oleh Dato’ Sri Hj. Fadillah.
Dalam amanat yang disampaikan tadi, Dato’ Sri Hj. Fadillah menyeru agar rakyat Malaysia dapat terus memainkan peranan aktif dalam keselamatan sempadan dengan sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa, termasuk AKPS.
Seusai ucapan peluncuran majlis tadi, Tan Sri Razarudin bersama tetamu lain turut menyaksikan gimik peluncuran AKPS yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Hj. Fadillah dengan diiringi oleh Ketua Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali.
Majlis yang berlangsung kira-kira satu jam tadi diakhiri dengan jamuan sebelum kesemua tetamu kehormat termasuk Tan Sri Razarudin mengiringi Dato’ Sri Hj. Fadillah meninjau proses kemasukan pelancong asing di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia dekat KLIA yang menjadi salah satu “check point” kemasukan ke sempadan negara yang dikawal AKPS.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi, Tuan Ahmad Fahmi Fadzil, Peguam Negara, Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Ketua-ketua Agensi di bawah KDN dan para perwakilan asing.
Jurugambar: Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri dan Konstabel Nur Sabrina Ghazali