







Oleh: Sholina Osman
1 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa senang hati melihat sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh negara diraikan dengan semangat perpaduan dan menghormati perbezaan oleh pelbagai kaum.
Jelas Anwar, Malaysia bukan negara yang mudah ditadbir kerana berbilang kaum, agama, dan wilayah dengan cabaran dan keperluan yang berbeza-beza.
“Tetapi kita punya matlamat yang sama, yakni mahu melihat anak-anak membesar dengan baik, mendapat pendidikan berkualiti, anak muda punya pekerjaan bermaruah dan ibu bapa hidup selesa,” katanya menerusi hantaran di FB.
UNTUK MEMENUHI UNDANGAN
Perdana Menteri sebelum mengakhiri lawatan kerja di Perak telah ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Chong Hwa Kanthan Baru untuk memenuhi undangan ke Jamuan Teh Tahun Baharu Cina bersama rakyat.
Beliau menghargai sambutan yang begitu meriah dari luar hingga ke dalam dewan serta persembahan unik sama ada tarian singa dan naga, muzik serta pertunjukan wushu yang dipersembahkan anak-anak pelajar.
Dalam ucapannya Anwar berkata, matlamat ini mampu direalisasikan sekiranya negara kekal aman serta usaha ini digerakkan secara bersama oleh Kerajaan dan rakyat keseluruhannya.
SEMAKIN MENERIMA
PENGHORMATAN
Di peringkat antarabangsa katanya, Malaysia semakin menerima penghormatan oleh negara-negara dan pelabur-pelabur asing.
“Bermula minggu depan, saya akan menerima kunjungan pembesar-pembesar asing yang berminat dengan Malaysia berikutan kestabilan, pertumbuhan ekonomi, dan peluang pelaburan yang meyakinkan,” katanya.
KENAIKAN HARGA BARANG
Namun kata Perdana Menteri, masih ada cabaran yang harus ditangani, umpamanya kenaikan harga barang yang masih membebankan rakyat meskipun ekonomi berkembang dan inflasi terkawal.
Isu ini bukan hanya di Malaysia, malah katanya turut dibincangkan pimpinan dunia tatkala beliau berkunjung ke negara-negara luar.
“Justeru, penting untuk semua pihak bersama-sama mencari jalan penyelesaian ketimbang mencetus perbalahan tanpa kesudahan,” katanya. – JM