







Oleh: Sholina Osman
1 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan Pakej 1 di Papan, Daerah Kinta, Perak.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air serta pimpinan lain.
“Saya mendengar taklimat terkait projek bernilai RM811 juta ini yang menghubungkan rangkaian paip pembentungan sejauh 88 kilometer, dan memanfaatkan kira-kira 250,000 penduduk di Hulu Kinta serta Mengelembu,” katanya menerusi perkongsian di FB.
Perdana Menteri berkata, inisiatif ini penting bagi meningkatkan kecekapan sistem pembentungan secara menyeluruh, mempertingkatkan keberkesanan rawatan kumbahan bagi mengelakkan pencemaran serta menyokong pembangunan bandar yang lebih lestari, bersih dan mampan.
KAGUM DENGAN KEUPAYAAN
“Saya kagum dengan keupayaan pasukan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang melaksanakan projek ini tatkala dimaklumkan mengenai cabaran dihadapi, antaranya keadaan bawah tanah di Ipoh yang kompleks dan luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, projek ini juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa dan tercatat dalam The Malaysia Book of Records, selain merekodkan penjimatan sekitar RM60 juta selepas menggunakan kepakaran dalaman.
“Tahniah buat pasukan JPP, PETRA dan Kerajaan Perak atas usaha gigih memastikan projek ini dijalankan secara teratur bagi manfaat rakyat negeri ini,” ujar beliau. – JM