



Oleh: Sholina Osman
1 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas apabila ada sekelompok kecil termasuk pemimpin lampau yang meremehkan hasrat dan usaha Kerajaan yang menyikapinya atas dasar kemanusiaan dan keadilan di Gaza.
Beliau berkata, golongan ini tidak puas hati takala kerajaan mengumumkan inisiatif wakaf bagi membangunkan sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza tempoh hari.
“Gerombolan kecil ini memajukan hujah bahawa keperluan negara mesti diutamakan ketimbang penduduk Gaza,” katanya menerusi hantaran di FB berhubung ucapannya di Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh.
Jelas Perdana Menteri, jika itu hujahnya, sampai bila pun kita tidak akan dapat membantu sesiapa kerana masalah dalam negara memang akan sentiasa ada di mana-mana dan ia melibatkan semua lapisan masyarakat.
MESTI TERUS BERUSAHA
“Malah, apa yang utama adalah kita mesti terus berusaha menyelesaikannya sambil tidak bungkam terhadap kesengsaraan, serta ambil sikap keprihatinan yang tinggi dan agresif mendepani pelbagai isu yang merundung masyarakat sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” tegasnya.
Justeru itu katanya, penderitaan yang dialami warga Gaza sudah melebihi batas kemanusiaan, malah menjadi kemelut terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
“Penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Gaza lantas mengetuk dhamir dan nurani apakah kita sebagai masyarakat masih punyai rasa peduli dan maruah keinsanan terhadap warga tertindas,” kata Perdana Menteri. – JM