




1 Feb 2025
(Petikan bahan/foto FB Kementerian Pendidikan Malaysia)
Sekitar penganjuran Program Perhimpunan Kepimpinan Pendidikan Negeri Sabah yang menghimpunkan pemimpin pendidikan peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah di seluruh negeri ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas komitmen dan kerjasama erat dalam meningkatkan sektor pendidikan di negeri ini.
Dalam amanat beliau, Menteri Pendidikan menekankan mengenai kepentingan kepimpinan di peringkat PPD untuk merealisasikan hasrat reformasi institusi peringkat sekolah.
Kepimpinan di peringkat PPD dan sekolah perlu memberi tumpuan untuk mewujudkan ekosistem yang baik bagi pengajaran dan pembelajaran. Tambah beliau, keseronokan belajar dapat meningkatkan motivasi murid sekaligus menangani isu keciciran.
Tahun 2025 adalah tahun yang sangat penting kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat membangunkan pelan pembangunan pendidikan yang baharu dan melakukan persediaan bagi kurikulum baharu persekolahan tahun 2027.
Turut hadir pada program ini adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs Tuan Haji Azman bin Haji Adnan dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, YBhg Datuk Haji Raisin bin Saidin.