BANGUN GAZA : Usaha murni PMX yang wajar dipuji

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita)

Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi antara pemain utama dalam membangunkan semula Gaza yang musnah adalah langkah terpuji yang seharusnya diberi sokongan dengan hati yang ikhlas serta minda yang bersih.

Bagi yang mengenali sosok tubuh serta jiwa murni PMX, beliau adalah pemimpin Islam bertaraf dunia yang tidak pernah melupakan bumi Gaza yang dibanjir darah serta air mata rakyat Palestin.

Sebab itu adalah sangat menghairankan jika ada pemimpin Islam di negara ini agak tidak senang dengan PMX dan `membebel’ berkaitan usaha PMX mahu mempercepatkan bantuan pembangunan Gaza. Bebelan yang tiada asas yang mereka sahaja yang tahu niat dalam hati masing-masing.

Mereka perlu sedar , adalah jelas bahawa usaha membangunkan Gaza yang digerakkan oleh PMX selaras dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya untuk sentiasa menghulurkan bantuan kepada saudara seagama yang kesusahan.

Dalam hal ini, rekod PMX sejak sekian lama adalah sentiasa konsisten membantu umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga masyarakat dunia yang ditimpa bencana walaupun di mana mereka berada.

Apatah lagi dalam kes Gaza yang musnah akibat serangan zalim puak Israel, menghulurkan bantuan jauh lebih dituntut sebenarnya.

ZALIM, DAYUS JIKA MALAYSIA SEKADAR PEMERHATI

Adalah zalim dan dayus jika Malaysia memilih untuk sekadar menjadi pemerhati semata-mata tanpa menghulurkan sebarang bantuan kepada penduduk Gaza yang mengalami banyak kemusnahan itu.

Akibat serangan Israel, umat Palestin di Gaza bukan saja mengalami kemusnahan rumah, sekolah, hospital dan lain-lain kemudahan, bahkan mereka juga mengalami kemusnahan dalam hidup kerana kehilangan ibu bapa, anak dan saudara-mara yang dibunuh secara zalim.

Lantaran itu, reaksi pantas Malaysia melalui PMX untuk membantu membangunkan semula Gaza hendaklah dipuji dan disanjung tinggi.

PATUT BERBANGGA DENGAN KOMITMEN PMX

Kita rakyat Malaysia patut berbangga dengan komitmen Perdana Menteri itu.

Ia menunjukkan Malaysia masih memiliki jiwa kemanusiaan yang tinggi untuk membantu sesama umatnya.

Tidak perlu mana-mana pihak ada rasa bimbang kononnya dengan membantu Gaza itu akan menyebabkan peruntukan untuk membangunkan sekolah dan hospital di negara sendiri akan terbantut atau terabai.

Mustahil secetek itu pemikiran PMX, bahkan diyakini peruntukan untuk pembangunan dalam negara sama sekali tidak terganggu dengan usaha membantu membangunkan semula Gaza itu.

Sebagaimana disebut Anwar sendiri, masalah dalam negara tidak mungkin selesai sepenuhnya, tetapi usaha membantu Gaza tetap perlu dilakukan.

Ertinya kalau mahu menunggu masalah dalam negara selesai terlebih dahulu baru sepatutnya Gaza perlu dibantu, sampai kiamat pun bantuan itu tidak mampu dihulurkan.

Ini kerana masalah dalam negara tidak akan selesai sampai bila-bila – masa silih berganti dan masalah yang datang juga akan bertukar bersilih ganti.

Peruntukan untuk membangunkan semula Gaza bukanlah diambil daripada peruntukan untuk membina sekolah dan hospital di dalam negara yang biasa diperuntuklan setiap tahun.

Selain memperkenalkan kaedah wakaf dengan mewujudkan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, dana juga mungkin diperolehi melalui sumbangan syarikat swasta dan individu yang berkemampuan.

Melalui kaedah ini, sesiapa sahaja yang ingin membantu boleh berbuat demikian secara sukarela.

Pokoknya, dengan membantu membangunkan semula Gaza tidak akan menjejaskan sedikit pun peruntukan kerajaan untuk kepentingan rakyat Malaysia.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *