Atase Agama dilantik Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, Ruju’ Orang Islam Perlis di Indonesia

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
30 JAN. 2025

Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ustaz Mohd Shamsuri Ghazali dilantik sebagai Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perlis di Indonesia.

Tawaran pelantikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)
adalah selaras dengan Subseksyen 28 (3) berkaitan Pelantikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2006.

Kenyataan media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan perkara ini sempena persinggahan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Jakarta dalam penerbangan pulang ke tanahair dari Palembang, Indonesia.

Berangkat sama adalah anakanda Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

SEBUAH NEGARA SERUMPUN

Sementara itu, Mohd Shamsuri dalam sembah maklum kepada Baginda berdua, sebagai sebuah negara serumpun, yang punya sejarah, bahasa dan budaya yang sangat dekat, rakyat Malaysia yang berkunjung ke Indonesia harus memanfaatkan ruang keakraban ini untuk lebih memahami budaya setempat atau memiliki kearifan lokal agar kebersamaan yang ada dapat kita kekalkan dan diperkuat dengan keharmonian berpanjangan.

Apa yang penting, segala urusan dapat dilakukan dengan mengikuti peraturan dan persyaratan yang ditetapkan.

Hubungan istimewa yang sekian lama terjalin sama ada dalam bidang keagamaan, pendidikan, perdagangan bahkan kekeluargaan haruslah menjadi kayu ukur untuk Malaysia dan Indonesia sentiasa rukun dan toleran dalam menghargai perbezaan dan mensyukuri kekuatan yang ada.

PENDEKATAN ISLAM MODERAT

Dalam bidang agama, kita boleh berkerjasama mempromosikan pendekatan Islam moderat sebagai wadah penyatuan umat Islam kepada dunia luar dengan semangat serantau sebagai aur kekuatan.

Inshaa Allah, pendekatan ini mampu mewajah Islam yang humanis dan indah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *