





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
30 JAN. 2025
Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa ingat bahawa kekuatan kita terletak pada kesatuan hati, kesepakatan fikiran, dan kerjasama tindakan dalam setiap aspek kehidupan.
‘Ummatan Wahidah’ bermakna kita harus bersama-sama mengatasi segala cabaran yang datang, memajukan pendidikan, ekonomi, sosial dan dakwah Islamiah.
Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memperlihatkan contoh teladan yang baik, serta menjadi insan yang memberikan manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi kenyataan media MAIPs selepas Baginda berkenan berangkat menyerahkan sumbangan kecil zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Unit Pengumpul Zakat (UPZ) Yayasan Masjid Sultan Mahmud Badaruddin Jayo Wikramo (Masjid Agung) Palembang, Indonesia.
Turut berangkat mengiringi Baginda adalah anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
MENYALURKAN BANTUAN KEWANGAN
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs bagi menyalurkan bantuan kewangan yang akan dimanfaatkan oleh masjid-masjid bagi penganjuran program agama, sumbangan kepada fakir miskin atau asnaf.
Sebagai rekod, nama masjid ini diambil sempena Sultan Mahmud Badaruddin Jayo Wikramo, iaitu salah seorang Sultan dari Kesultanan Palembang yang memerintah pada abad ke-18 dan bukan hanya berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat kegiatan sosial dan keagamaan di Palembang.
Bangunan masjid ini mempunyai seni bina yang unik dengan perpaduan unsur-unsur tradisional Melayu dan Arab. Selain sebagai tempat solat, Masjid Sultan Mahmud Badaruddin Jayo Wikramo sering menjadi tempat untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan sosial, termasuk pengajian, ceramah agama, dan pelaksanaan ibadah yang melibatkan komuniti setempat. – JM