Pelancaran dana bina kampus “Cambodia University of Management and Technology”

Oleh: Sholina OsmaN
26 JAN. 2025

Majlis simbolik pelancaran kutipan sumbangan amal bagi menyokong pembinaan kampus Cambodia University of Management and Technology (CUMT) yang dilaksanakan sempena ‘Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2025’.

Ia disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan 2020, Kangar hari ini.

Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda sulung, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

PEMBINAAN KAMPUS BAHARU

Kutipan dana bagi pembinaan kampus baharu universiti swasta tersebut di Phnom Penh masih memerlukan sekitar RM7 juta untuk fasa pertama, dengan fasa-fasa seterusnya akan dijalankan secara berperingkat.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi pautan https://infaqpay.my/plus/new-campus-maips dengan jumlah minimum sebanyak RM200.

Untuk rekod, PISC merupakan sebuah acara tahunan bertaraf antarabangsa yang mengupas pelbagai isu penting melalui diskusi ilmiah. Konvensyen ini berlangsung selama empat hari bermula 24 hingga 27 Januari 2025.

PISC 2025 dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku penaja utama. Konvensyen ini turut melibatkan pelbagai pihak, termasuk The Straight Path Convention, Dakwah Corner, dan Merdeka Times.

Dalam majlis tersebut juga Duli-duli Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan mendengar syarahan bertajuk “Quran: The Everlasting Miracle” yang disampaikan oleh pendakwah terkemuka, Syeikh Dr. Muhammad Salah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *