PMX tiba di Davos, Switzerland hadir Sidang Kemuncak Tahunan WEF

Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Davos, Switzerland bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF).

“Jadual padat saya, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, akan membawa suara anggota blok ini di pentas dunia dalam pelbagai isu antaranya kecerdasan buatan, iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan,” katanya menerusi hantaran di FB miliknya.

Turut dijangka menjadi tumpuan dan agenda penting sewaktu lawatan kerja ini katanya, adalah sesi taklimat dengan media antarabangsa, Dialog Strategi Negara dan ucaptama terkait masa depan ASEAN merangkumi aspek digital, ekonomi, peranan teknologi baharu dan juga inovasi.

MEMUDAHKAN SEGALA PERANCANGAN

“Moga Yang Maha Esa memberi keberkatan dan memudahkan segala perancangan yang diatur sepanjang lawatan ini, Insya-Allah, ujarnya.

Dalam satu lagi hantaran di FBnya, Perdana Menteri mengisi masa pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Davos, Switzerland, dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin syarikat multinasional yang mempunyai pelbagai pelaburan di Malaysia.

“Ruang lingkup ini digunakan untuk menerokai lebih banyak sinergi pelaburan dan perdagangan demi kepentingan bersama,” katanya.

SYARIKAT YANG TERLIBAT

Antara syarikat-syarikat yang terlibat adalah AstraZeneca, Fortescue, DP World, Nestle, Medtronics, dan Google.

Sesi-sesi tersebut juga sebagai signal dan usaha berterusan kerajaan dalam meyakinkan serta menarik kemasukan pelabur asing, baik baharu dan lama ke Malaysia.

Iklim pelaburan global menuntut kerajaan untuk lebih aktif memperluas radar hubungan dan kerjasama lebih erat bagi merebut peluang yang ada hatta membawa manfaat untuk dinikmati rakyat dan juga ekonomi negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *