PDRM rekod 35,368 kes jenayah dalam talian, kerugian RM1.5 bilion – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2025

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati jumlah kes jenayah dalam talian pada tahun 2024 adalah sebanyak 35,368, dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM1.5 bilion.

Beliau berkata, sebanyak 34,495 kes dengan jumlah kerugian
sebanyak RM1.22 bilion direkodkan pada 2023.

“Pada akhir tahun lalu, PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah melaksanakan Ops Pedo Bersepadu yang membawa kepada penangkapan seramai 13 suspek di 6 buah negeri, melibatkan rampasan lebih 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak,” katanya menerusi perkongsian di FBnya.

Fahmi berkata, dalam usaha memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia, Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian berjaya direalisasikan oleh Kementerian Komunikasi.

TELAH MELANCARKAN KEMPEN

Beliau telah melancarkan kempen ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa.

Siri jelajah ini merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(MCMC).

Tujuannya untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, sekali gus mengelakkan pengguna daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.

Fahmi berkata, jelajah ini akan diperluas ke seluruh negara.

“Sama-samalah kita mainkan peranan untuk perangi jenayah dalam talian, sekali gus melindungi anak-anak dan keluarga daripada menjadi mangsa,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *