





Oleh: Sholina Osman
Foto: Ihsan YTSP Perlis
21 JAN. 2025
Perlis telah dipilih sebagai lokasi bagi penggambaran filem berjudul ‘Mojoku Hilang’ terbitan Double Vision Sdn Bhd yang berkonsepkan “film tourism”.
Syarikat berkenaan telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk penggambaran ini.
Kenyataan media YTSP Perlis, pihaknya telah mengadakan satu majlis penghargaan untuk rakan-rakan strategik yang telah membuat sumbangan kepada tabung yayasan.
Majlis penghargaan ini dilaksanakan baru-baru ini bersama barisan pelakon serta krew ‘Mojoku Hilang’ dan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis di Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit.
BERSAMA YTSP PERLIS
Antara rakan-rakan strategik yang terlibat sama dalam inisiatif bersama YTSP Perlis pada masa ini adalah EUPE Bhd, SHJ Auto Sdn Bhd, UEM Group Berhad, CIMA Bhd, Mutiara Perlis Sdn Bhd, FFM Berhad dan beberapa syarikat lain dengan sumbangan yang kini hampir mencecah RM1 juta.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah dan Penerbit filem berkenaan Min Lim dan Penyelaras Kerjasama DVSB/YTSP, Syed Hazrain Jamalullail.
Selepas majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan berfoto kenangan, beramah mesra ‘Meet and Greet’ bersama barisan pelakon utama dan pelakon tambahan yang hadir serta krew produksi dan seterusnya meninjau ke lokasi penggambaran filem tersebut.
MENGANGKAT POTENSI PELANCONGAN
Johari berkata, YTSP Perlis tertarik untuk bekerjasama dalam inisiatif pembikinan filem ini bagi tujuan menambah baik dan mengangkat potensi pelancongan, pertumbuhan sosioekonomi dan yang paling utama pendidikan anak-anak di negeri Perlis
Menurut Min pula, “Mojoku Hilang” adalah sebuah filem romantik-komedi yang bertemakan komuniti, kepercayaan pada kehidupan yang tidak materialistik dan juga pengorbanan untuk orang yang disayangi.
Ia mengetengahkan perpaduan masyarakat, budaya tolong-menolong dan pencarian identiti anak muda pada zaman ini.
TAHUN MELAWAT PERLIS
Filem ini diyakini akan dapat mempamerkan keunikan serta keindahan Perlis, sekaligus menyokong kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Filem ini dibintangi pelakon Indonesia yang diminati ramai, Adipati Dolken bersama barisan pelakon-pelakon terkenal tanahair seperti Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Namron, Datuk Ahmad Tamimi, Gambit Saifullah dan juga seekor lembu yang sangat comel.
Double Vision Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat produksi tempatan yang aktif dan berpengalaman dalam penerbitan komersial televisyen, televisyen realiti, filem, dan drama bersiri serta penyiaran di negara ini. – JM