Askar Wataniah perlu aktif hadir latihan, aktiviti – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2025

Semua anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia diseru supaya sama-sama meningkatkan keaktifan dalam menghadiri semua latihan dan aktiviti yang dirancang. 

Setiap anggota baik pegawai mahupun anggota lain-lain pangkat juga haruslah sentiasa berusaha bagi meningkatkan tahap kompetensi dan ‘S.K.A.’ iaitu ‘Skill, Knowledge, Attitude’ masing-masing.

Justeru, tindakan itu perlulah disertai dengan ikhlas dan jujur, dan bukan dengan bermain di bibir sahaja.

PROGRAM EKS PERBAH

Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sesi taklimat Program Eks PERBAH 2025 yang diadakan di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Bukit Keteri.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt. Kol Lasahi Laiji.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah mengingatkan semua bahawa setiap anggota merupakan ejen rejimen bagi membawa kenalan dan taulan untuk turut serta menganggotai pasukan simpanan kebanggaan negara kita ini.

SENTIASA MEMPERBAHARUI AZAM

Baginda turut berharap agar semua pihak sentiasa memperbaharui azam agar Perlis tercinta ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur hendakNya.

Raja Muda juga berharap agar setiap inisiatif yang diambil berimpak maksima kepada semua pihak terutamanya kepada barisan anggota sukarela.

Usaha berterusan hendaklah dijalankan oleh pihak rejimen dalam memastikan perkara rejimental dan penglibatan agensi awam sentiasa wujud dalam jaringan kolaborasi strategik dan mobilisasinya.

Dalam masa yang sama, Key Performance Indeks (KPI) rejimen tersebut mestilah dicapai dan digarap melalui penglibatan pihak awam khususnya Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *