YAKIN DENGAN ANWAR , ADIA TINGKAT PELABURAN DI MALAYSIA

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

14 Januari 2025

Usaha gigih PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus melonjakkan lagi ekonomi negara ke tahap terbaik semakin bersinar melalui lawatan beliau ke UAE atau Emiriyah Arab Bersatu dan berjaya mengadakan mesyuarat dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).

Ini kerana ADIA ialah salah satu dana kekayaan terbesar di dunia dengan memiliki aset melebihi AS$1 trilion.

Maka itu, pertemuan di Abu Dhabi itu dengan sendirinya membuka ruang untuk memperkukuh lagi kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE.

Dalam pertemuan antara Anwar dengan H.H. Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan, Pengarah Urusan ADIA, serta barisan kepimpinan lain seperti H.E. Mr. Khalil Foulathi dan Mr. Mohamed Al Ameri, mereka telah menyatakan minat mendalam terhadap peluang pelaburan yang ada di Malaysia.

PELABUR GLOBAL BERIMPAK TINGGI

Dikenali sebagai pelabur global berimpak tinggi, ADIA memiliki pelaburan dalam sektor infrastruktur, kesihatan, tenaga, dan banyak lagi.
Pelaburan mereka di peringkat antarabangsa termasuk di United Kingdom, Perancis, India serta Amerika Syarikat.

Di Malaysia, komitmen ADIA termasuk melalui kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) melalui penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Dalam pertemuan dengan Anwar, ADIA yang telah sekian lama melabur di Malaysia turut memberi komitmen untuk terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan-pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB.

PMX dalam catatan di laman sosialnya turut berkeyakinan sinergi padu antara Malaysia dan ADIA mampu menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.

“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam menerokai pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.

“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah,” ujar Perdana Menteri.

Apa yang jelas, komitmen yang diberikan ADIA memperlihatkan keyakinan kukuh mereka terhadap dasar-dasar kerajaan yang mesra pelabur asing yang tidak lain bertujuan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.
————————————————————
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *