UTeM, Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta meterai Surat Niat perkukuh kerjasama

Oleh: Sholina Osman
25 DIS. 2024

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) telah memeterai Surat Niat (LoI) dalam satu majlis bagi menandakan komitmen strategik memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar, serta pelbagai aktiviti akademik masa depan.

Majlis menandatangani LoI itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pembuatan Industri (FTKIP) UTeM, Prof. Ir. Ts. Dr. Hambali Arep, dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Kolaborasi UPNVJ, Dr. Nanang Alamsyah, yang mewakili Dr. Muchamad Aktaviandri, Pemangku Dekan Fakulti Kejuruteraan UPN Veteran Jakarta, Indonesia.

Sebagai meneruskan kerjasama ini, Seminar Permindahan Ilmu diadakan dengan tema “Implementasi Sistem Informasi Geografi (GIS) dalam Kejuruteraan Industri dan Rantaian Pembekalan”.

TEKNIK APLIKASI GIS

Seminar yang diketuai oleh Dr. Yulizar Widiatama ini menarik lebih 50 mahasiswa dan penyelidik UTeM, yang mendalami teknik aplikasi GIS dalam penerokaan mineral baharu untuk pembangunan serta kitar semula selain mengoptimumkan proses berkaitan dalam bidang kejuruteraan industri dan pengurusan rantaian bekalan.

Ketua projek yang mewakili UTeM, Dr Al Amin Mohamed Sultan berkata, seminar ini juga turut merangkumi pengisian teknikal mengenai penggunaan “Google Earth Engine” untuk analisis data satelit dalam eksplorasi mineral.

“Teknologi ini berpotensi besar untuk diaplikasikan di Malaysia dalam mengenal pasti kawasan eksplorasi sumber mineral yang tepat dan berkesan, menjadikannya satu inovasi yang bermanfaat untuk pembangunan sumber daya negara,” kata Dr Al Amin yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi dan Kejuteraan Industri dan Pembuatan, UTeM.

BERPELUANG MELAWAT MAKMAL

Delegasi dari UPNVJ juga berpeluang melawat makmal dan fasiliti UTeM, di mana mereka menyaksikan kemudahan penyelidikan canggih yang dimiliki universiti tersebut.

Prof. Hambali berkata, kerjasama ini membuka lembaran baru dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua institusi, dan berharap dapat meningkatkan lagi visibiliti UTeM di peringkat antarabangsa melalui kerjasama seumpama ini.

“UTeM giat merancang program bercorak global serta sentiasa bersedia menerima kerjasama dari luar negara yang akan terus mengangkat kepakaran dalam negara untuk kebaikan sejagat,” katanya.

MENGENAI PELUANG KERJASAMA

Dr. Yulizar Widiatama turut menzahirkan pandangannya mengenai peluang kerjasama ini serta menegaskan komitmen UPNVJ untuk meneruskan perancangan berkaitan penyelidikan bersama UTeM dan program-program lain yang akan dirancang bersama.

Katanya, UTeM mempunyai banyak contoh dan amalan terbaik yang kami boleh pelajari dan bawa balik ke UPNVJ.

“Kami juga berharap agar delegasi dari FTKIP UTeM dapat membuat lawatan balas ke UPNVJ untuk meneruskan kolaborasi akademik ini,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *