Oleh: Sholina Osman
23 DIS 2024
Ketua Setiausaha,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar turun padang untuk melihat pelaksanaan pematuhan harga barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Pasar raya Village Grocer, Bangsar Baru, Kuala Lumpur.
SHMMP 2024 ini berkuat kuasa mulai hari ini hingga 27 Disember 2024 iaitu selama 5 hari.
“Saya turut mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi bekalan dan harga barangan khususnya yang melibatkan 9 item yang dikawal harganya di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.
Selain itu kata Mohd Sayuthi ada tambahan 5 item barangan lagi dikawal harganya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, dan menjadikan jumlah keseluruhan barang yang dikawal adalah 14 item.
SEDANG BERKUASA
Beliau berkata, KPDN berharap agar semua peniaga dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutamanya sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 ini dengan mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.00; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000.00 atau dikompaun sehingga RM250,000.00;
(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000.00 atau dikompaun sehingga RM5,000.00; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000.00 atau dikompaun sehingga RM10,000.00.
Pengguna juga disaran untuk sentiasa berhemah ketika berbelanja sepanjang musim perayaan ini dan menerusi inisiatif KITA GEMPUR, partisipasi orang ramai untuk bersama-sama dengan Kerajaan di dalam membanteras sebarang aktiviti manipulasi dalam perdagangan serta pelanggaran undang-undang berkaitan amat diperlukan. – JM