OLEH : NORAINI NORDIN
(Sorotan khas 2 – Program Pemantapan Representasi Wanita
Dalam Parlimen – Anjuran Wanita KEADILAN Pusat)
Tarikh 22 Dis 2024
PUTRAJAYA 22 DIS 2024 :-
Perjuangan wanita untuk mencapai 30% calon yang bertanding sebagai calon dalam PRU dan PRN akan datang , adalah langkah yang sangat penting dalam usaha memperkasakan peranan wanita dalam politik dan kepimpinan.
Pengerusi Biro Keanggotaan Wanita KEADILAN Pusat , Saribanon Saibon berkata, sebagai mengulas inisiatif penubuhan Tabung 30WReps untuk membantu anggota wanita parti yang bakal bertanding dalam pilihanraya akan datang.
Penubuhan tabung tersebut telah diumumkan oleh Ketua Wanita Pusat Fadhlina Sidek dalam Program Pemantapan Representasi Wanita Dalam Parlimen yang berlangsung di Putrajaya semalam.
Menurut Saribanon lagi , walaupun
wanita merupakan separuh daripada populasi, jumlah mereka yang terlibat dalam penggubalan dasar dan keputusan politik masih jauh daripada mencerminkan peratusan keanggotan dalam parti tersebut.
SEMANGAT KESETARAAN GENDER
Jelas beliau lagi, dengan adanya usaha tersebut, ia bukan sahaja membuka ruang kepada wanita untuk lebih aktif dalam arena politik, tetapi juga menyemarakkan semangat kesetaraan gender dalam semua aspek kehidupan.
Menurut beliau, kewujudan tabung dana bagi persediaan calon wanita pula adalah satu usaha yang wajar dipuji dan membuktikan betapa Wanita KEADILAN amat perihatin memperkasakan kaum hawa dalam politik masa depan .
Beliau yang juga Ketua Wanita Cabang Kota Raja (Selangor) berkata, ramai wanita berpotensi yang memiliki kemampuan dan visi untuk memimpin, namun sering kali `terkandas’ dengan masalah kewangan dan sokongan logistik untuk memasuki dunia politik.
KEMPEN CALON WANITA
Jelas beliau lagi, tabung tersebut dapat memberikan bantuan yang diperlukan untuk membangunkan kempen calon wanita termasuk dalam hal pendidikan politik, latihan kempen serta pengurusan dana.
“Ini akan sekali gus membantu mereka untuk bersaing di medan politik yang lebih setara.
Dengan adanya sokongan kewangan dan sistematik ini, lebih ramai wanita dapat dipersiapkan untuk memegang jawatan yang lebih tinggi dan memberi impak positif kepada masyarakat, ‘’ jelas beliau lagi.
Menurut beliau, secara keseluruhannya, kedua-dua langkah tersebut – memperjuangkan 30% representasi wanita dan menyediakan tabung dana untuk calon wanita – adalah langkah besar ke arah memastikan keadilan dan kesetaraan dalam politik.
“Ini secara langsung menjamin suara wanita didengari dan dihargai dalam setiap keputusan penting negara, ‘’ tegasnya.