OPS KESAN 3.0 bermula sejajar pelaksanaan SSPA 1 Disember 2024

Oleh: Sholina Osman
1 DIS. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS KESAN 3.0 sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuatkuasa 1 Disember 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, OPS KESAN 3.0 dilancar untuk memantau dan mengekang aktiviti pencatutan.

Sehubungan itu katanya, KPDN sedang dan akan menggerakkan lima pendekatan termasuk melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Oktober 2024.

“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA,” katanya dalam kenyataan media.

DATA KUTIPAN HARGA

Armizan berkata, antara pendekatan OPS KESAN 3.0 adalah mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN yang meliputi sebanyak 480 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga.

Katanya selain itu ia bagi
memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan.

Armizan berkata, juga menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan- aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima

MENGEMUKAKAN SEBARANG MAKLUMAT

“Menyediakan saluran aduan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat dan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” tambahnya.

Armizan berkata, di sepanjang tempoh pengumpulan data OPS KESAN 3.0, sebanyak 2,803 premis telah diperiksa di seluruh negara membabitkan 13,209 item.

“Setiap premis yang dilawati telah diberikan notis bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan maklumat awal tentang harga dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata, data harga dan perkhidmatan ini akan dijadikan rujukan untuk memantau sebarang pergerakan harga bermula tarikh berkuatkuasanya SSPA.

DILAKUKAN BAGI MENGESAN

“Pelaksanaan OPS KESAN 3.0 akan dilakukan bagi mengesan mana-mana pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan sekali gus mengekang aktiviti pencatutan sebaik bermulanya kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.

Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000.00 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Armizan bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN meneruskan Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di sekitar Pusat Bandar Batu 8, Sandakan, Sabah.

UNTUK MENINGKATKAN KESEDARAN

Antara objektif Sesi Advokasi Biz-BERKAT ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen dalam kalangan para peniaga untuk mematuhi kod etika, peraturan dan undang-undang perniagaan.

Ini termasuk pematuhan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 seperti larangan untuk memberikan maklumat dan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan termasuk pensijilan halal.

Begitu juga kepatuhan kepada Akta Kawalan Bekalan 1961 seperti larangan menyimpan stok barang kawalan melebihi had kuantiti yang dibenarkan dan mengenakan syarat jualan yang tidak sah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *