Oleh Zuliman Nasution Abdullah Omar
(Ulasan berita)
20 Nov 2024
Tidak syak lagi, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil yang berakhir hari ini telah banyak mencapai matlamat utama untuk meraih kepercayaan dan komitmen pelabur serta pengusaha dari negara berkenaan.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 atau G20 yang berlangsung di Muzium Seni Moden di tengah-tengah kotaraya Rio de Janerio, Anwar yang juga Menteri Kewangan terus memperkukuh ‘jenama’ Malaysia sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi utama di Asia Tenggara.
Beberapa bulan lagi apabila tiba waktu Malaysia menduduki kerusi selaku Pengerusi ASEAN 2025, kesan signifikan dapat dilihat dari segi penjenamaan kembali nama negara sejak sekian lama.
Pada pagi Isnin lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu yang melibatkan ekonomi, perdagangan, dan pembangunan lestari termasuk tenaga hijau serta industri semikonduktor.
Sementelah Brazil pula bakal menggantikan Rusia sebagai Pengerusi BRICS juga pada tahun depan, tidak dapat tidak kedua-dua pemimpin banyak menggariskan agenda bersama menerusi platform masing-masing sehingga menjadi perhatian dunia apabila mereka bergambar bersama.
Langkah tepat Presiden Luiz Inácio atau lebih mesra dipanggil Lula di kalangan pemerhati politik tempatan menjemput Anwar sebagai tetamu pengerusi jelas memperlihatkan tekanan dan desakan menghentikan kekejaman Israel di Palestin dan Lubnan mula menjadi buah mulut dunia.
LANGKAH STRATEGI KUKUHKAN HUBUNGAN
Tidak dinafikan juga apabila lawatan turut menjadi satu langkah strategik dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brazil serta membuka ruang bagi kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi yang berpotensi.
Ini ditambah lagi dengan kejayaan delegasi beliau menghasilkan potensi eksport sebanyak RM6.8 bilion (US$1.57 bilion) untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Difahamkam nilai potensi eksport itu adalah hasil daripada perbincangan dengan pemimpin korporat dan industri daripada 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan di negara terbesar di Amerika Selatan itu.
Di samping itu, Anwar juga mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin sektor swasta dan pelabur dari Brazil bagi meneroka peluang pelaburan dan perniagaan yang menguntungkan kedua-dua negara.
Salah satu pencapaian utama lawatan ini adalah penyampaian komitmen yang kukuh daripada pengusaha Brazil untuk melabur dalam sektor-sektor strategik di Malaysia, terutamanya dalam bidang teknologi, pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan industri berteknologi tinggi terkait syarikat minyak negara itu, Petrobras.
Dengan Malaysia memiliki ekosistem perniagaan yang stabil serta dasar yang jelas mesra pelaburan, kini negara dapat dilihat sebagai destinasi yang menarik untuk pemain industri utama Brazil yang ingin mengembangkan pasaran mereka di Asia Tenggara.
POTENSI BESAR
Selain itu, Anwar juga menekankan kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki potensi besar dalam inovasi dan teknologi hijau, yang mana Brazil, sebagai negara dengan sumber alam semulajadi yang kaya, boleh bekerjasama dalam usaha membangunkan sektor-sektor tersebut secara bersepadu.
Lawatan ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia komited untuk memperluas hubungan ekonomi global, serta memastikan peluang yang lebih besar bagi pelaburan asing dan peningkatan kerjasama dalam pelbagai sektor yang saling menguntungkan.
Dengan komitmen yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, lawatan Perdana Menteri Anwar ke Brazil ini dijangka akan membawa manfaat jangka panjang yang signifikan kepada kedua-dua negara.
Apatah lagi kesudian Presiden Lula bakal menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025 tahun depan di Malaysia melonjakkan nama Brazil sebagai salah satu kuasa besar ekonomi dalam BRICS bersama-sama Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Sesungguhnya lawatan bersejarah Anwar ke bumi Amerika Latin termasuk ke Peru pada Sidang Kemuncak APEC ke-31 di Lima terdahulunya, ia pasti bakal merubah citra negara menjadi salah satu suara paling lantang memperjuangkan apa sahaja isu global biarpun Anwar pasti kepenatan memenuhi jadual yang amat padat setiap hari.
Kita doakan agar beliau sentiasa diberi kesihatan berpanjangan dan semangat untuk meneruskan agenda Malaysia MADANI yang mula menjadi sebutan sama ada di Timur Tengah, Asia Selatan mahupun di bumi Latin- JM