Semua pihak di Perlis perlu faham pegangan Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah

Oleh: Sholina Osman
20 NOV. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya semua kepimpinan utama dan jentera pentadbiran Kerajaan, para asatizah dan para pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis serta semua rakyat yang menetap dan bekerja di Negeri Perlis hendaklah benar-benar memahami pegangan Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah ini.

Baginda bertitah, hasrat ini adalah selaras dengan Amanat Kedua dalam Titah Tujuh Amanat yang telah dizahirkan oleh Raja Perlis yang dikasihi.

“Amanat tersebut antara lain mengingatkan kita bahawa:
“Semua jentera pentadbiran di dalam Negeri Perlis hendaklah berusaha mengukuh dan memperteguhkan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah seperti yang menjadi pegangan di dalam Negeri Perlis,” titah Baginda.

SEMUA YANG BERTUGAS

Sehubungan itu titah Baginda,
hendaklah semua yang bertugas dan berada di dalam Negeri Perlis diberikan kefahaman yang jelas tentang pegangan Perlis.

Titah Baginda, sama ada mereka ingin mengamalkan ataupun tidak secara peribadi, itu terpulang kepada setiap individu. Namun, mereka hendaklah diberikan kefahaman yang jelas tentang pegangan Perlis di dalam hal ehwal agama.

“Inilah sikap inklusif Negeri Perlis tidak bersikap ekslusif yang mudah menyesatkan aliran yang berbeza. Perlis sejak sebelum merdeka berusaha membawa Islam yang bersikap terbuka, luas horizon fikh dan mementingkan dalil dan fakta,” titah Baginda.

SIMPOSIUM GURU AGAMA

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan berangkat menutup Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan
Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2024 di Dewan Warisan.

Simposium dan majlis penganugerahan tauliah ini anjuran Jabatan Mufti Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pada majlis penutup dan penganugerahan tauliah itu, Raja Muda Perlis turut berkenan melancarkan buku baharu terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis iaitu ‘Mukadimah Kaedah Fiqhiyyah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *