Oleh: Sholina Osman
20 NOV. 2024
Seramai 837 graduan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menerima Ijazah dan Diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 pada 23 November 2024 di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Rektor KUIPs, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, Canselor KUIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Konvokesyen kali ke-7 kali ini.
Katanya, pada konvokesyen kali ini bakal menyaksikan 379 Graduan dari Fakulti al-Quran dan Sunnah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Fakulti Maklumat dan Kewangan Islam dan Fakulti Pengajian Islam menerima Ijazah (2024, 2021 dan 2020).
Manakala 458 graduan dari Fakulti al-Quran dan Sunnah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Fakulti Muamalat dan kewangan Islam dan Fakulti Pengajian Islam akan menerima Diploma pada sesi petang.
ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT
“Konvokesyen kali ini juga akan menyaksikan seorang Penerima Anugerah Ijazah Kehormat, Doktor Pengajian Islam, dua graduan menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula), lima penerima Anugerah Rektor, empat penerima Anugerah Khas Kokurikulum Imtiyaz Khas, seorang penerima Anugerah terbaik Diploma dan dua penerima Anugerah Graduan Terbaik Kokurikulum,” katanya pada sidang media di Galeri universiti ini.
Sempena dengan konvokesyen kali ini juga seramai 28 pelajar antarabangsa dari sembilan negara akan menerima Ijazah dan Diploma masing-masing dimana 24 graduan akan menerima Ijazah dan empat lagi menerima Diploma.
Graduan luar negara yang akan menerima Ijazah dan Diploma kali ini ialah dari Indonesia (12), Thailand (8) dan masing-masing seorang dari Ghana, Myanmar, Mali, Tunisia, Cambodia, Bangladesh dan Vietnam.
Dalam pada itu bagi memeriahkan konvokesyen kali ini Festival Konvokesyen juga akan berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 November 2024 di pekarangan Dewan 2020 Kangar, Perlis.
Antara reruai jualan yang disediakan termasuk makanan, minuman, penjualan buku, bunga dan juga studio foto untuk pengunjung mengabadikan kenangan sempena konvokesyen kali ini. – JM