Oleh: Sholina Osman
9 NOV. 2024
Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan melancarkan program Rakan Taman sekurang-kurangnya di dua taman perumahan mulai tahun 2025.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, program ini akan menjadikan taman awam di perumahan masing-masing dihidupkannya dengan pelbagai aktiviti secara bergotong-royong oleh komuniti setempat.
“Jika sudah ada taman sendiri, setiap ahli komuniti boleh menjadikan ia sebagai tempat untuk bercucuk tanam, beriadah dan sebagainya tanpa perlu mencari taman rekreasi di luar,” katanya kepada media selepas melancarkan program pertama berkenaan di Taman Utama Jaya, Jalan Stadium Utama, Kangar.
BERTUJUAN UNTUK MEMPERKASAKAN
Affendi berkata, program itu juga bertujuan untuk memperkasakan Jabatan Landskap, Pelancongan dan Senitaman MPK yang mendapat kerjasama Jabatan Landskap Negara Perlis.
“Bagi melancatkan program ini sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 bagi membekalkan peralatan antaranya mesin rumput, meja batu, peralatan kebun, paip air dan pelbagai lagi untuk kemudahan penjagaan taman ini,” katanya.
Beliau berkata, komuniti taman berkenaan akan bertanggungjawab menjaga sepenuhnya taman ini.
“MPK hanya akan memantau dari semasa ke semasa penjagaan taman ini,”
katanya.
KERJASMA DENGAN PERSATUAN
Bagaimanapun katanya, pelancaran program ini perlu mendapat kerjasama dengan persatuan penduduk taman.
Katanya, segala aktiviti akan digerakan oleh persatuan setempat bersama dengan ahli komuniti.
“Kita berharap taman ini aktif melaksanakan gotong-rotong untuk memastikan ia sebagai tempat komuniti bersantai,” katanya.
Affendi berkata, pihaknya yakin komuniti taman perumahan tidak hanya menganggap MPK hanya bersama E-idaman untuk kutipan sampah, pembayaran cukai pintu dan meluluskan pelan tambahan rumah tetapi sebenarnya mengambil berat dengan menjadi “orang tengah” bagi merapatkan ahli komuniti. – JM