Oleh: Sholina Osman
24 SEPT. 2024
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak di Jalan Basco Kepayang, Ipoh.
Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof.
Terdahulu Armizan dalam sembah ucapannya berkata, Menara SSM Perak yang serba moden dengan keluasan 175,853 kaki persegi ini dilengkapkan dengan pelbagai prasarana serta infrasruktur seperti parkir, kedai serbaneka, kafe dan surau, di samping mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.
49 WARGA KERJA
Beliau berkata, dengan kekuatan seramai 49 warga kerja, pejabat SSM Negeri Perak ini menawarkan perkhidmatan di tingkat bawah menara 10 tingkat ini.
“Dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti perniagaan di Perak, SSM turut menjana pendapatan dengan menyewakan tingkat-tingkat lain di menara ini,” katanya.
Armizan berkata, setakat ini, terdapat dua jabatan yang turut beroperasi di Menara SSM Perak, iaitu Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta Negeri Perak (JPPH).
SELARI DENGAN VISI
Tambahnya, adanya bangunan milik SSM di Perak ini bukan sahaja selari dengan visi SSM untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat terunggul, tetapi juga memperkukuh komitmen SSM dalam menyokong perkembangan komuniti perniagaan tempatan.
“Menara SSM Perak ini mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada pelanggan, menjadikannya sebagai pusat utama untuk keperluan entiti-entiti perniagaan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, mengikut statistik SSM, sebanyak 61,692 syarikat telah diperbadankan dan 795,350 perniagaan serta 1,073 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dari Negeri Perak telah didaftarkan dengan SSM sehingga 31 Ogos 2024.
Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 26,127 syarikat, 150,397 perniagaan dan 972 PLT adalah aktif. – JM