Pertemuan PMX, Putin dijangka buka potensi pelabur besar untuk Malaysia

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

4 September 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Vladivostok, bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Russia untuk lawatan kerja selama dua hari.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September dan beliau dijadual akan menyampaikan ucapan di sidang pleno pada 5 September.

PERTEMUAN DENGAN PRESIDEN RUSSIA

Kemuncak lawatan ini adalah pertemuan dua hala dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi BRICS kerana Russia memegang jawatan Pengerusi BRICS.

Melalui pertemuan Anwar dengan Putin akan memberi peluang kedua-dua pemimpin untuk membincangkan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan selain meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi terkini yang lain.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka bertukar-tukar perspektif mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah, selain turut membincangkan kerjasama dalam konteks Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia.

Mengiringi beliau ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Selain itu, Anwar juga dijangka bertemu Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov yang merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Russia dan Lembaga Agama Islam serta menerima kunjungan hormat Rais (Ketua) Tatarstan Rustam Minnikhanov.

LAWATAN PERTAMA ANWAR

Lawatan pertama Anwar ke Russia ini amat penting untuk masa depan negara, terutama dalam konteks penyertaan Malaysia ke dalam BRICS.

BRICS adalah sebuah kesatuan ekonomi yang ditubuhkan sempena nama negara besar yang mengasaskannya iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.

Oleh kerana kuasa ekonomi dan kemajuan negara-negara dalam BRICS itu, keberadaan Malaysia dalam gabungan tersebut tentu saja mampu memberi kesan ekonomi yang berganda.

Sehingga ini dilaporkan lebih 20 negara telah memohon untuk menyertai BRICS

Pertemuan Anwar dan Putin turut dinanti-nantikan dan dijangka membuka potensi pelaburan dan perdagangan yang lebih besar untuk negara.

Pada 2023, Russia adalah rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion) berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) yang direkodkan pada 2022.

Nota :- Foto-foto adalah daripada FB Anwar Ibrahim.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *