Oleh: Sholina Osman
3 SEPT. 2024
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap penganjuran Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 mampu menjadi pelantar kepada kerajaan bagi mengenal pasti ancaman utama kepada keselamatan dalam negeri
daripada perspektif kementerian dan agensi luar.
Dalam kenyataan media KDN juga menjelaskan, ia juga selari dengan tema “Keselamatan Negara Bukan untuk Dikompromi”
“Sekaligus dapat meningkatkan tahap kecaknaan dan kesiapsiagaan kerajaan amnya dan KDN khususnya dengan isu-isu keselamatan mutakhir,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 di Hotel Marriot.
JULUNG KALI DIADAKAN
Persidangan yang julung kali diadakan ini dengan sasaran dapatan (outcome) “satu perspektif ancaman keselamatan dan ketenteraman awam utama negara yang berasaskan data”.
Penganjuran Persidangan Keselamatan Dalam Negara ini berobjektif untuk mengenal pasti ancaman utama keselamatan dan ketenteraman awam negara secara holistik berasaskan data serta mengenal pasti strategi bagi menangani ancaman utama keselamatan dan ketenteraman awam negara yang rentas masa.
Persidangan ini dibahagikan kepada empat kluster meliputi Kluster 1 iaitu Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kluster 2 iaitu Keselamatan Sempadan, Kluster 3 iaitu Keselamatan Siber, dan Kluster 4 iaitu Keselamatan Sosial.
Setiap kluster terdiri daripada pembentang yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), dan pemain industri yang membentangkan pelbagai tajuk mengikut kluster.
DIJADIKAN FOKUS KDN
Dapatan daripada persidangan ini akan dibentangkan di Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN), dijadikan fokus KDN bagi tahun 2024 dan Pelan Strategik Kementerian Dalam Negeri (PSKDN) tahun 2026 hingga 2030 di samping akan dijadikan input untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Persidangan ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, sebelum disusuli dengan enam slot pembentangan mengikut kluster seterusnya forum penggulungan daripada empat kluster dan pembentangan resolusi persidangan.
Turut diadakan, pameran reruai pelbagai agensi berkaitan dengan keselamatan dalam negara yang menyediakan pelbagai informasi bermanfaat kepada pengunjung. – JM