Ops Kesan 2.0: 24,154 premis diperiksa, keluar 244 Notis Bertulis

Oleh: Sholina Osman
4 Ogos 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 24,154 premis dan mengeluarkan 244 Notis Bertulis ke atas peniaga sempena OPS KESAN 2.0 di seluruh negara sehingga 3 Ogos 2024.

Bagi Negeri Pahang pula sebanyak 2,141 premis telah diperiksa dan sebanyak 19 Notis Bertulis telah dikeluarkan ke atas peniaga sehingga 3 Ogos 2024.

Timbalan Menterinya, Fauziah Salleh berkata, Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) itu dikeluarkan kepada peniaga bagi memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan berikutan perubahan harga diesel.

“Setiap peniaga ini diminta untuk mengemukakan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan,” katanya dalam kenyataan media.

Fuziah berkata, KPDN ingin memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan Kerajaan.

TINDAKAN YANG TEGAS

“Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat, manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Fuziah berkata, KPDN telah melaksanakan sesi walkabout dan libat urus Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 MySubsidi Diesel bersama kira-kira 400 peniaga dan pengunjung di Pasar Tani UTC Kuantan, Pahang hari ini.

Pelaksanaan program bertujuan untuk memberi bantuan semakan dan khidmat nasihat berkaitan tatacara permohonan BUDI MADANI MySubsidi Diesel selaras dengan pengumuman Kerajaan baru-baru ini.

SEMUA SYARIKAT PENGANGKUTAN

Program turut menyasarkan semua syarikat pengangkutan barangan darat yang layak untuk mendaftar bagi mendapatkan kemudahan diesel bersubsidi melalui sistem fleet card, seterusnya dapat membantu mengawal kos harga barangan di pasaran khususnya bagi barangan keperluan harian rakyat.

Pada masa yang sama, kelima-lima syarikat minyak turut turun padang untuk membantu memudahkan proses semakan dan pendaftaran kenderaan logistik oleh pihak syarikat.

Syarikat-syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan boleh memohon melalui SKDS 2.0 MySubsidi Diesel di bawah kawal selia KPDN.

Permohonan lengkap boleh diluluskan serta-merta.

JUMLAH KESELURUHAN KENDERAAN

Fuziah berkata, setakat pukul 7.10 pagi, 4 Ogos 2024, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS adalah sebanyak 259,141 kenderaan yang melibatkan 93,035 syarikat.

Manakala bagi Negeri Pahang katanya sebanyak 5,068 syarikat dan 11,445 kenderaan telah diluluskan permohonan diesel bersubsidi setakat 31 Julai 2024.

Selain itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang turut membuka kaunter bagi memudahkan orang ramai yang layak untuk membuat semakan dan permohonan melalui BUDI MADANI Individu dan BUDI MADANI Agri-Komoditi.

Pendekatan bersemuka seperti ini dapat membantu rakyat untuk mendapatkan penerangan dan perkhidmatan secara terus berhubung permohonan mereka. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *