Oleh Sholina Osman
7 JUN 2024
Polis Padang Besar memberkas pasangan suami isteri ekoran penemuan satu kilogram dadah disyaki ganja bernilai RM3,100 di dalam kereta yang dinaiki keduanya di tepi jalan masuk kebun mangga harumanis di Jalan Sahabat, Kaki Bukit, Perlis.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, sekaligus polis telah berjaya menyelamatkan ia dari digunakan oleh 4,000 pengguna dadah.
Beliau berkata, penangkapan kedua suspek ini telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar yang diketuai oleh seorang pegawai dan sembilan anggota pada pukul 4.30 petang, 6 Jun dalam satu Operasi Pengedaran Ganja.
“Pasukan ini telah merampas satu kilogram dadah disyaki ganja setelah menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 21 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
MENAIKI SEBUAH MOTOKAR
Mohd Shokri berkata, keduanya ditahan ketika menaiki sebuah motokar jenis Proton Waja di tepi jalan masuk kebun mangga harumanis, Jalan Kampung Sahabat, Kaki Bukit, Perlis.
Beliau berkata, hasil penahanan itu, polis menemui satu beg berwarna didalamnya terdapat bungkusan aluminium foil warna emas yang dibalut dengan selotape berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja yang diletakkan di atas lantai letak kaki sebelah kiri penumpang belakang anggaran seberat satu kilogram.
Berikutan itu, katanya, satu kilogram dadah disyaki jenis ganja bernilai RM3,100 telah dirampas.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan setempat pada awal tahun ini.
“Dadah jenis ganja tersebut telah dibawa masuk menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran sekitar daerah Padang Besar,” katanya.
Mohd Shokri berkata, suspek dipercayai memperoleh dadah melalui seorang lelaki dari negara jiran.
TIGA REKOD LAMPAU
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala suspek wanita tiada sebarang rekod lampau.
Katanya, ujian saringan awal ke atas suspek lelaki juga positif dadah jenis methapathemine manakala suspek wanita negatif.
Katanya, kedua suspek direman selama seminggu mulai hari ini (7 Jun) bagi melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mohd Shokri juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam apa juga aktiviti penyeludupan akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Polis juga memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan dadah di kawasan mereka dengan menghubungi Hotline Polis Daerah Padang Besar di talian 60-49872222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – JM